Jangan Anda Putus Asa

Jemaat yang di kasihi Yesus, Firman Tuhan dalam Ayub 42:10 mengatakan: “Lalu TUHAN memulihkan keadaan Ayub, setelah ia   meminta doa untuk sahabat-sahabatnya, dan TUHAN memberikan   kepada Ayub dua kali lipat dari segala kepunyaannya dahulu.” Ketika mendengar  nama Ayub seringkali yang timbul dalam fikiran kita adalah kisah hidupnya yang penuh dengan penderitaan. Pencubaan demi pencubaan datang dalam kehidupan Ayub; anaknya mati, harta bendanya dirampas, diolokkan oleh isteri dan dia sendiri mengalami sakit yang begitu berat. Jika seseorang berada dalam keadaan Ayub kemungkinan besar dia tidak akan sanggup lagi menjalani hidupnya. Oleh kerana beratnya penderitaan yang dihadapi oleh Ayub adakah anda mengatakan bahawa Ayuh seorang yang gagal? Bukankah terhadap orang yang hidup benar Firman-Nya berjanji memberkatinya. Jika kita langsung mengambil kesimpulan, Ayub adalah orang yang gagal dan itu pandangan yang salah. Adakah orang yang tidak pernah gagal dalam hidupnya? Orang yang berhasil sekalipun adalah orang yang pernah gagal, bukan hanya satu dua kali, bahkan mungkin berkali-kali, tapi mereka tidak pernah menyerah, melainkan mahu belajar dari kegagalan tersebut dan menjadikan itu sebagai pelajaran yang berharga untuk bangkit dan berjuang lebih semangat lagi. Meskipun harus mengalami penderitaan yang bertubi-tubi Ayub mampu bertahan dan imannya kepada Tuhan tidak menjadi luntur, terbukti dia masih boleh berkata: “Kerana Ia tahu jalan hidupku; seandainya Ia menguji aku, aku   akan timbul seperti emas.”  (Ayub 23:10). 

Oleh kerana itu jemaat Tuhan, kemungkinan saat ini keadaan anda sedang dalam keadaan yang tidak berdaya, jangan anda putus asa  tetapi bawalah semua persoalan anda kepada Tuhan, di dalam Dia pasti ada pertolongan dan jalan keluar. Bagi orang yang menaruh pengharapan kepada Tuhan,  “…masa depan sungguh ada, dan harapan mu tidak akan hilang.” Amsal 23:18. Semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kita semua. Amin!